- Amat menarik sekali pesanan yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Ali Jum’ah berhubung sikap perdebatan tanpa ilmu. Beliau memetik hadis Nabi yang bersabda:
مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِىَ بِهِ الْعُلَمَاءَ، أَوْ لِيُمَارِىَ بِهِ السُّفَهَاءَ، أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ
“Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau memalingkan wajah manusia kepada dirinya (untuk menarik perhatian manusia), maka Allah memasukkannya ke dalam neraka.” (HR al-Tirmizi)
- Ketika mengulas hadis ini, Sheikh Ali Jum’ah menegaskan:
يعني هو لا يريد العلم من أجل منفعة البشرية، وعمارة الأرض، وتصحيح عبادة الله، هو يريد أن يقال عنه إنه عالم حتى يشاغب مع العلماء، حتى إذا جلس في المجالس يُلتفت إليه
“Iaitu dia bukan bertujuan mencari ilmu untuk manfaat manusia, bukan untuk memakmurkan dunia, membetulkan pengabdian kepada Allah. Tetapi dia mencari ilmu supaya orang menyatakan dia itu alim sehingga dia boleh berdebat dengan ulama, atau sekiranya dia duduk dalam satu majlis, manusia akan memaling melihat dirinya (cuba mencari perhatian manusia).
- Malah pada bahagian penutup penulisan beliau itu, Dr. Ali Jum’ah memetik hadis Nabi yang bersabda:
وَمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بُنِىَ لَهُ فِى وَسَطِهَا
“Barangsiapa yang meninggalkan perbalahan sekalipun dia berada di pihak yang benar, maka Allah akan membina baginya mahligai di Tengah (syurga)… (HR al-Tirmizi)
- Nasihat Dr. Ali Jum’ah ini sangat penting dalam situasi kita hari ini. Beliau menegaskan ada golongan yang suka berdebat bukan kerana kebenaran tetapi semata-mata hanya inginkan perbalahan sahaja. Kata beliau:
يريدوا المخاصمة، والجدال، والمنازعة، ولا يريدون أن يصلوا إلى الحق الذي هو عند الله
“Mereka hanya inginkan pergaduhan, perdebatan dan pertikaian dan bukannya ingin mencari kebenaran yang berada di sisi Allah.
- Oleh yang demikian, sama-samalah kita bermuhasabah dalam perkara yang diperselisihkan. Jangan merasakan diri megah, sewenangnya menuduh orang lain salah dalam perkara yang khilaf dan tidak membawa perbalahan yang meleret-leret.
Semoga Allah membimbing kita.