Category: Adab

  • Melupakan Kesalahan Pasangan

    Melupakan Kesalahan Pasangan

    1. Salah satu panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah mengenai akhlak seorang suami ialah menegur isteri secara baik dan melupakan sebahagian kesalahan mereka. Iaitu dia tidak mengungkit secara terperinci bahkan memberikan teguran yang perlu sahaja.
    2. Perkara ini diceritakan dalam al-Quran apabila Allah mendedahkan kepada kita bagaimana Nabi menegur isterinya sebahagian kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan tidak mendedahkan sebahagian kesalahan yang lain. Firman Allah:

    عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَن بَعْضٍ ۖ

    “(maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya)” (Surah al-Tahrim: 3)

    1. Ketika menafsirkan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Baginda hanya menceritakan bahagian kesalahan yang perlu sahaja supaya pihak isteri tidak terasa dengan penerangan yang terlalu detail mengenai kesalahannya. Kata al-Tantawi:

    اكتفى بالإشارة إلى جانب منه ، ولم يذكر لها تفاصيل ما قاله لها سابقا . لسمو أخلاقه – صلى الله عليه وسلم – إذ فى ذكر التفاصيل مزيد من الخجل والإحراج لها

    “Baginda memadai dengan hanya menyebut sebahagian daripadanya (sebahagian kesalahan sahaja) dan tidak menyebutkan perincian apa yang diucapkannya kepada isterinya sebelum itu. Ini adalah ketinggian akhlak Baginda Nabi SAW kerana dengan menyebutkan kesalahan secara terperinci akan menambah malu isteri dan lebih menyakitkan hati mereka.”

    1. Begitu tinggi akhlak Rasulullah, dalam memberikan teguran pun, Baginda berusaha menjaga hati isteri yang ditegur agar mereka tidak terasa. Malah menurut Sheikh al-Tantawi lagi, buat-buat lupa kesalahan pasangan merupakan akhlak suami yang mulia. Beliau menukilkan kata-kata salaf terdahulu:

    ما زال التغافل من فعل الكرام

    “Sentiasalah perbuatan melupakan (kesalahan itu) adalah perlakuan orang yang mulia.”

    Semoga Allah membimbing kita.

    Dr. Ahmad Sanusi Azmi
    https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

  • Sikap Ihsan Kepada Makhluk

    Sikap Ihsan Kepada Makhluk

    Dari hadis Nabi SAW disampaikan;

    عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

    Dari Syadad bin Aus, sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu, jika kalian membunuh maka bunuhlah dengan cara yang baik, dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang paling baik, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya serta tidak menyiksa kepada sembelihannya.” (Sahih Muslim No: 1955)

    Pengajaran yang bisa diambil:

    1.  Syariat Islam menuntut manusia untuk melakukan perbuatan ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) kepada setiap makhluk termasuk hewan.

    2.  Islam mengajarkan tidak bolehnya kita menyiksa atau merusakkan tubuh badan sebagai sasaran dan tujuan kekerasan, kita tidak juga boleh menganiaya orang yang dihukum qishash.

    3.  Jangan karena kita berbeda pandangan atau kumpulan, hal tersebut menjadikan hilangnya sifat ihsan kita terhadap orang lain.

    4.  Termasuklah disebut sebagai ihsan, ketika kita juga berbuat baik terhadap hewan ternak dan mengasihinya. Kita tidak boleh membebaninya diluar kemampuannya serta tidak boleh juga menyiksa ketika menyembelihnya. Termasuk dengan menyepelekan dan merendah-rendahkan binatang saat menyembelihnya. Baik kita dan hewan beribadah dalam peran dan porsinya masing-masing.

    5.  Kewajiban berbuat baik dalam membunuh ataupun mengambil nyawa musuh hendaklah dengan cara mengambil jalan yang paling ringan dan dibenarkan syariat, yakni dalam peperangan ataupun dihukum oleh pengadilan yang berwenang.

    6.  Marilah kita berbuat ihsan dengan melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar melepaskan batuk ditangga atau pun menzaliminya.

  • Nasihat Dr. Ali Jum’ah dalam Isu Perdebatan

    Nasihat Dr. Ali Jum’ah dalam Isu Perdebatan

    1. Amat menarik sekali pesanan yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Ali Jum’ah berhubung sikap perdebatan tanpa ilmu. Beliau memetik hadis Nabi yang bersabda:

    مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِىَ بِهِ الْعُلَمَاءَ، أَوْ لِيُمَارِىَ بِهِ السُّفَهَاءَ، أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ

    “Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau memalingkan wajah manusia kepada dirinya (untuk menarik perhatian manusia), maka Allah memasukkannya ke dalam neraka.” (HR al-Tirmizi)

    1. Ketika mengulas hadis ini, Sheikh Ali Jum’ah menegaskan:

    يعني هو لا يريد العلم من أجل منفعة البشرية، وعمارة الأرض، وتصحيح عبادة الله، هو يريد أن يقال عنه إنه عالم حتى يشاغب مع العلماء، حتى إذا جلس في المجالس يُلتفت إليه

    “Iaitu dia bukan bertujuan mencari ilmu untuk manfaat manusia, bukan untuk memakmurkan dunia, membetulkan pengabdian kepada Allah. Tetapi dia mencari ilmu supaya orang menyatakan dia itu alim sehingga dia boleh berdebat dengan ulama, atau sekiranya dia duduk dalam satu majlis, manusia akan memaling melihat dirinya (cuba mencari perhatian manusia).

    1. Malah pada bahagian penutup penulisan beliau itu, Dr. Ali Jum’ah memetik hadis Nabi yang bersabda:

    وَمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بُنِىَ لَهُ فِى وَسَطِهَا

    “Barangsiapa yang meninggalkan perbalahan sekalipun dia berada di pihak yang benar, maka Allah akan membina baginya mahligai di Tengah (syurga)… (HR al-Tirmizi)

    1. Nasihat Dr. Ali Jum’ah ini sangat penting dalam situasi kita hari ini. Beliau menegaskan ada golongan yang suka berdebat bukan kerana kebenaran tetapi semata-mata hanya inginkan perbalahan sahaja. Kata beliau:

    يريدوا المخاصمة، والجدال، والمنازعة، ولا يريدون أن يصلوا إلى الحق الذي هو عند الله

    “Mereka hanya inginkan pergaduhan, perdebatan dan pertikaian dan bukannya ingin mencari kebenaran yang berada di sisi Allah.

    1. Oleh yang demikian, sama-samalah kita bermuhasabah dalam perkara yang diperselisihkan. Jangan merasakan diri megah, sewenangnya menuduh orang lain salah dalam perkara yang khilaf dan tidak membawa perbalahan yang meleret-leret.

    Semoga Allah membimbing kita.