Ada perkataan dari bahasa Melayu lama seerti rasuah.
Kata rasuah itu dari bahasa Arab.
Akan tetapi untuk orang Melayu, ada kalimat lain.
Kata ini bolehlah dianggap arkaik dan sudah lama tidak kedengaran.
Kekol. Itulah kalimat rasuah dalam bahasa Melayu.
Saya berpendapat penguatkuasa dan aktivis anti rasuah seperti SPRM perlu mengenal serba sedikit latar belakang kekol dan orang Melayu.
Kekol ini bermaksud sogokan atau suapan.
Ini kerana hubungan pembesar Melayu dahulu-kala dan aksi kekol atau rasuah ini memang terbiasa lali.
Ambil sahaja Bendahara Seri Maharaja ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, beliau tidak rasa sedikit pun bersalah menerima wang pemberian Raja Mendeliar, salah seorang tokoh korporat waktu itu.
Apa kata perdana menteri tatkala itu?
Ini yang dipetik dari ‘Sejarah Melayu’:
“Maka bendahara pun keluar. Maka emas yang sepuluh kati itupun dipersembahkan pada bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada Bendahara, ‘Tuanku, emas ini persembahan saya akan pembeli-pembeli sirih pinang Tuanku’. Maka kata Bendahara, ‘Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil’.”
Perhatikan bagaimana selamba bendahara menyambut kekol atau sogokan.
Perihal kekol atau pemberian untuk diri sendiri ini memang terbiasa dalam budaya bangsawan Melayu.
Apatah lagi raja-raja zaman dahulu kaki berniaga, demikian juga para kerabat, dan pembesar istananya.
Dalam Sejarah Melayu, disebut-sebut yang kekol ini boleh menyebabkan negara terdedah kepada musuh:
“Ada seorang anak baginda perempuan, terlalu baik parasnya maka dipinang oleh Raja Kuci, maka tiada diberi oleh Pau Kubah. Maka diserangnya oleh Raja Kuci, maka peranglah orang Kuci dengan orang Cempa terlalu ramai, tiada beralah. Maka pada suatu hari Raja Kuci menyuruh pada penghulu bendahari Cempa membawanya muafakat diberi emas dan harta terlalu banyak. Maka penghulu bendahari Cempa pun kabullah, serta telah dinihari maka dibukakannya pintu kota oleh penghulu bendahari Cempa. Maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, maka beramuklah dengan orang Cempa. Maka kota Bal pun alahlah.”
Ternyata kekol ini diberi nama baru “muafakat emas”.
Mungkin ini juga bentuknya “scheme of things” di zaman dahulu kala.
Kadang kekol ini diberi pula nama “belanja” yang menjadi isyarat bahawa rasuah ini boleh sahaja dilekat dengan istilah positif, padahal ia nista.
Hal ini misalnya terlihat dalam Tuhfat al Nafis:
“Maka Raden Jaga pun berkerahlah menyuruh orang orangnya sedia menahan langgar orang-orang Sebukit itu dan Dayak pun dikumpulkannya beribu-ribu serta mengeluarkan beberapa belanja-belanja kepada Dayak itu, siang malam dengan berjaga hingga susahlah di dalam negeri Pinang Sekayuk itu.”
Di dalam Ada Perpatih, rasuah atau kekol ini merupakan salah satu jenayah berat.
Di dalam Adat Perpatih terdapat lapan kategori jenayah besar; iaitu tikam bunuh, upas racun, samun sakar, siar bakar, maling curi, umbuak umbai, sumbang salah dan dahaga dahagi.
Oleh sebab rasuah ini lali dalam kalangan pembesar, orang Minang telah mengambil langkah ke depan untuk membanterasnya.
Kekol dalam kalangan orang Minang diberi nama “umbuak umbai”.
“Umbuak” ialah kekol atau rasuah demi faedah diri sendiri iaitu dengan memujuk orang tertentu untuk membuat atau tidak membuat sesuatu dengan cara memberi hadiah, menjanjikan wang atau barang, atau menggunakan pengaruh.
“Umbai” pula ialah untuk faedah diri sendiri dengan mengugut orang dengan kekerasan supaya melakukan sesuatu.
Kesalahan “umbuak umbai” ini juga kadang dirujuk sebagai “kicuah kicang”.
“Kicuah” ialah perbuatan menipu sehingga menyebabkan kerugian orang lain, manakala “kicang” ialah perbuatan pemalsuan yang merugikan pihak lain.
Kesalahan kekol atau rasuah ini digazet dalam Adat Perpatih kerana kisahnya pemilihan Angku Kapalo di Sitalang yang mana untuk menang dalam pemilihan, Datuak Maruhun Basa menggadaikan harta pusakanya berupa sawah dengan niat menyogok atau mengekol lawan yang akan naik menjadi Angku Kapalo, agar dia yang terpilih.
Dalam tradisi Adat Perpatih cara untuk membuktikan pesalah rasuah itu ialah pertama, dengan syak wasangka seorang penyiasat (katakan hari ini penyiasat SPRM), dan keduanya dengan bukti.
Akan tetapi syak terhadap kekol atau rasuah, atau umbuak umbai dalam Adat Perpatih ini bukan sebarangan.
Ini kerana ia ada petuanya.
Dua petua yang mungkin boleh digunapakai hari ini ialah pertama; “tersindang jejak menurun, tertukik jejak mendaki”.
Perbilangan di atas bermakna; “tanda-tanda di bukit dapat dicamkan kalau ada orang menuruni bukit itu atau menaikinya.”
Dalam konteks ini ia bermaksud, seseorang itu boleh disyaki melakukan kekol atau “umbuak umbai” memandangkan cara hidupnya (katakan seorang pembesar) yang mendadak bertukar, umpama seseorang yang tiba-tiba kelihatan mewah.
Kedua, petua untuk perhatian agensi penguatkuasaan rasuah kita ialah dengan maklumat risikan.
Dalam hal ini perbilangan Adat Perpatih menyebut begini; “berbau bak ambacang; atau, terniang-niang bak kokok ayam; atau, dibawa angin”.
Dalam hal ini ia bermakna kita (rakyat) berhak memeriksa seseorang pembesar berdasarkan desas-desus dan khabar-khabar angin.
Orang Minang amat berhati-hati dengan kekol ini kerana sudah terbiasa dengan perbilangan yang memerhatikan tindak-tanduk mereka sebagai ketua atau penggawa.
Selain itu orang Minang membuktikan seseorang pembesar itu menerima kekol dengan mencari bukti sedia ada.
Perbilangan untuk menyerkap pembesar melakukan jenayah kekol atau rasuah ini antara lain ialah, “terkikik terkadik tertanda terbeti.”
Ia bermaksud “terkikik terkadik” atau tertangkap basah, ketika sedang melakukan kekol.
“Tertanda” pula ialah bukti atau tanda seperti adanya “terbeti” seperti habuan, sogokan atau kekol berupa wang, harta, kerbau dan sebagainya.
Kebiasaannya pembesar yang disyaki, dan tertangkap basah akan disoalsiasat.
Dalam budaya Minang ada perbilangan lain yang digunapakai iaitu “bertimbang ciak dak menjawab”.
Ia bermaksud, “seseorang pembesar akan menyerlahkan kesalahannya dengan memberi jawapan yang dusta kepada soalan-soalan penyiasat”.
Atau dalam erti kata lain memberikan dalih-dalih dan alasan yang bukan-bukan tatkala diinterogasi.
Saya kira maklumat ini tentu berguna untuk kita hari ini sebagai satu bentuk pendidikan masyarakat.
Apakah hukuman dalam Adat Perpatih untuk mereka yang menerima rasuah?
Oleh kerana kekol atau rasuah adalah di bawah Undang-Undang Lapan, biasanya pesalah rasuah dikenakan hukuman berat seperti diusir, dan diboikot dari masyarakat.
Inilah yang kita, orang Melayu di zaman moden harus lakukan.
Pesalah kekol atau rasuah dalam kalangan pembesar diaibkan bukan diangkat sebagai pemimpin, apatah lagi dipuja.